Bungkusan Dihantar Pada Hari Sama

Wednesday, 04 August 2021

Sumber : https://www.hmetro.com.my/

pic


Bungkusan dihantar pada hari sama



Kuala Lumpur – Cargomind Sdn Bhd menyasarkan membuka kira-kira 300 pusat kurier, Kargomind Express di seluruh Malaysia menjelang 2022. Pengasas dan Pengarah Urusannya, Zahrol Ahmad berkata, pihaknya yakin melalui pembukaan Kargomind Express dapat mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan kepada orang ramai.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 50 cawangan Kargomind Express di sekitar Kedah, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Lembah Klang. "Kargomind Express ini antara inovasi terbaharu syarikat kami yang 100 peratus milik Bumiputera bertaraf Multimodal Transport Operator (MTO) serta berpengalaman luas dalam bidang penghantaran domestik dan antarabangsa.

"Justeru, kami merancang membuka pusat kurier Kargomind Express ini di setiap bandar besar dengan permulaan di Semenanjung Malaysia dan kemudian di Sabah serta Sarawak secara berperingkat. "Kami bersedia membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang berminat menjadi rakan niaga Kargomind Express dengan modal hanya RM20,000 sehingga 31 Ogos ini.

"Rakan niaga akan diberi peralatan lengkap seperti komputer, pencetak, plastik, papan tanda termasuk gerbang pembayaran," katanya kepada Bisnes Metro. Menurutnya, bagi memastikan barangan pelanggan diurus dengan baik, pusat kurier diberi kebebasan melantik penghantar masing-masing.

Selain itu, Zahrol berkata, syarikat akan menguruskan bahagian line haul dan menyusun bungkusan di gudang apabila pihaknya menyasarkan 25 gudang akan dibuka bagi memenuhi permintaan. "Kargomind Express mampu bersaing dengan pemain antarabangsa lain kerana kita mempunyai kemampuan itu, malah pusat kurier ini sudahpun dibuka di Singapura dan London.

"Selepas pandemik ini berakhir, kami akan meluaskan Kargomind Express ke rangkaian negara lain dan paling penting caj yang kami tawarkan sangat berpatutan serta bungkusan boleh dihantar paling cepat pada hari sama," katanya.